Langkah-langkah pemprosesan Rawatan_kumbahan

Rawatan kumbahan umumnya melibatkan tiga peringkat iaitu rawatan primer(rawatan fizikal), sekunder dan tertier.

Tangki-tangki rawatan primer kumbahan di Oregon, Amerika Syarikat.

Prarawatan

Prarawatan menyingkirkan semua bahan-bahan yang boleh diambil dengan mudahnya daripada kumbahan mentah, mengelakkan kerosakan atau tersumbatnya pam dan baris penapis rawatan primer. Objek yang biasa dikeluarkan dalam peringkat ini termasuklah sampah, batang pokok, daun, dahan, dan objek besar yang lain.

Proses ini juga boleh melibatkan saluran atau kebuk khas di mana kelajuan air kumbahan yang masuk diselaraskan agar batu kerikil, batu kecil, pasir mahupun serpihan kaca dapat termendap seterusnya mengelakkan kerosakkan pada pam-pam dan alatan penuras. Sistem penapisan sebegini lebih cenderung diperlukan di loji-loji yang lebih berskala besar.[1]

Rawatan (atau olahan) primer

Dalam peringkat pemendapan primer ini, kumbahan dialirkan melalui tangki besar, yang biasa disebut "besen pra-mendap", "tangki mendapan utama" atau "penapis utama".[2] Tangki-tangki ini digunakan untuk memendapkan lumpur di mana gris dan minyak yang timbul ke permukaan dibuang. Tangki jenis ini biasanya dilengkapi dengan pengikis janaan mekanikal yang terus-menerus membawa lumpur yang terkumpul ke arah hopper di dasar tangki di mana ia dipamkan ke kemudahan rawatan enap cemar.[1]:9–11 Gris dan minyak yang terapung daripada hasil enap cemar ini kadangkalanya boleh digunakan semula untuk proses membuat sabun (penyabunan).

Olahan sekunder

Rawatan peringkat ini direka untuk menguraikan kandungan biologi kumbahan yang berasal dari sisa-sisa manusia dan makanan, sabun dan detergen dengan banyaknya. Kebanyakan loji perbandaran merawat air kumbahan termendap ini menggunakan proses biologi aerobik. Biota memerlukan kedua-dua oksigen dan makanan untuk hidup, seterusnya menjadikan proses biologi tersebut lebih berkesan. Bakteria dan protozoa memakan bahan-bahan pencemar organik (misalnya gula, lemak, molekul rantai pendek karbon organik dan sebagainya) serta mengikat sisa-sisa yang kurang larut pecahan menjadi flok.

Olahan tertier

Rawatan ini bertujuan menyediakan peringkat akhir rawatan untuk meningkatkan lagi kualiti buangan atau efluen sebelum ia dilepaskan ke alam sekitar (laut, sungai, tasik, tanah basah, tanah, dan lain-lain.). Lebih daripada satu proses rawatan tertier mungkin akan digunakan dalam mana-mana perawatan. Proses rawatan ini berada di peringkat akhir jika terdapatnya proses pembasmian kuman.